I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selamat Datang Ke SK Bukit Rokan Utara (Sekolah Kluster Kecemerlangan)

Terima Kasih Kerana Sudi Meluangkan Masa

Monday, August 17, 2009

Pertandingan bercerita

Friday, August 14, 2009

H1N1

Apa itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. Ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yang lebih tinggi di dalam rantaian makanan @ manusia dan semasa di dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air born' dan menjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka Hayat Virus

Oleh kerana ia adalah viurs yang air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja . Jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host (badan manusia) ia akan mati. Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yang baik....akan 'bersih' dr virus tersebut.

Apa Yang Anda Perlu Tahu

Asal virus ini.

Sebenarnya telah terdapat outbrake ini di US sebelum terjadi outbrake di mexico tetapi tidak dilaporkan kepada WHO. Kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu 'baling batu sembunyi tangan' lalu tercetus la outbrake di mexico.

Virologi Virus H1N1

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari. Ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkiti pesakit. Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkiti paling cepat dan selewat-lewatnya hari ke - 4 . H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara Serangan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin ,percakapan malah sentuhan. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (seperti selsema burung dan SARS) . Pada peringkat awal, ia hanya pada 'trakea' . Jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse' dan ia amat merbahaya
kepada golongan yang berisiko tinggi .

Siapa Yang Berisiko

1. Orang yang ada masaalah 'obesiti' @ gemuk
2. Perempuan mengandung
3. Orang yang ada asthma
4. Orang - orang yang bermasalah dengan sistem imunisasi (menjalani 'operation yg besar', kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan-golongan yang rendah tahap imuniti contohnya HIV)

* Kematian yang telah dilaporkan terdiri daripada golongan-golongan di atas .

Simptom - Simpton

Day 1 Rasa kurang sihat, tak bermaya
Day 2 Selsema, batuk dan demam yang kekal (demam x turun walaupun telah mkn ubat demam)
Day 3 Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Day 4 Sakit dada yg teruk, jumpa doktor dengan segera
Day 5 Lung collapse @ koma


Langkah-Langkah Kawalan

1. Golongan - golongan yang berisiko, elakakan daripada kesesakan (kawasan yang padat dengan orang ramai)

2. Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3. Elakkan diri jika terdapat 'orang batuk, bersin ! dan kurang sihat'

4. Jika kurang sihat, elakan diri dari beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5. Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang-kurangnya 3 ply mask)

6. Untuk orang yang sihat, elakkan dari kawasan yang padat.

7. Jika ada tanda - tanda simptom di atas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8. Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk 'checkup' kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus.

9. Tak perlu ambil anti-viral @ apa-apa ubat influenza!!! !!!!!!!. Jika sihat dan mengambilnya, akan mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat - ubat untuk merawat jika terkena jangkitan. Ini adalah! kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan y g telah mengambil ubat - ubat tersebut terlebih awal.

10. Vaksin hanya akan 'wujud' seawal-awalnya pada Oktober dan hanya untuk 'frontliner' sahaja dan untuk orang awam selewat - lewatnya pada 2010.

11. Untuk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di Malaysia. Ia mengambil masa 6 jam untuk run test kepada 1 batch sample. Jika klinik menyatakan mereka boleh jalankan ujian, itu tidak betul. Tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12. Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbrake ini. Sama-samalah kita berdoa kepada ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu. Amin.

Ini Adalah Sumber Dari Taklimat H1N1 Oleh Pengarah Kawalan Penyakit Berjang! kit Dari Kementerian Kesihatan Malaysia Di Pan Pacific KLIA Pada 01.08.2009.


P/s:H1N1 menjadi rangking utama malaysia (malah dunia) untuk penyakit bawaan maut yg terkini diikuti kanser dan buah pinggang.so hargai kehidupan dengan mencari antivirus tubuh yg terhebat.H1N1 x kenal sesiapa.malah doktor pon tewas dengan serangan nya.itu hakikat.

Monday, August 10, 2009

Khatam Al-Quran

Friday, August 7, 2009

Tapak kampus UUM dahulu adalah sarang komunis

Tapak kampus UUM dahulu adalah sarang komunis

Dalam catatan sejarah UUM, universiti yang terletak paling utara ini bermula di kampus sementaranya di Bandar Darul Aman dekat Jitra dan kemudian setelah enam tahun di sana, berpindah ke Kampus Sintok, kira-kira 30 km di utara Jitra. Sebelum terbinanya kampus UUM di Sintok, kawasan Hutan Simpan Sintok seluas 4,000 hektar ini adalah kawasan yang digazetkan sebagai kawasan hitam akibat aktiviti pengganas komunis oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak di selatan Thailand.

Apabila PKM meletak senjata dan menamatkan perjuangan mereka, kawasan Sintok telah digazetkan menjadi kawasan putih semula pada Disember 1988 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, selaku Menteri Dalam Negeri. Tindakan itu membolehkan UUM memulakan pembinaan Kampus Sintok mulai 7 Januari 1989.

Perdana Menteri telah memberikan tempoh masa selama 18 bulan untuk UUM menyiapkan Kampus Sintok. Ini bermakna pembinaan harus siap menjelang Julai 1990 apabila sesi pengajian yang baru akan bermula. Genap 18 bulan, Perdana Menteri membuat lawatan ke Kampus Sintok untuk melihat perkembangan pembinaan kampus berharga RM580 juta ini.

Disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, termasuk mendapatkan pekerja binaan yang mencukupi, UUM hanya mampu memulakan operasinya di Kampus Sintok dua bulan kemudian, iaitu pada 15 September 1990 apabila pelajar-pelajar baru sesi 1990/91 mendaftar disusuli dengan kemasukan pelajar senior seminggu kemudian untuk memulakan pengajian. Jumlah pelajar UUM meningkat dari 3,500 orang pada ketika itu menjadi 16,500 orang pada masa kini dengan 14,500 orang bermastautin di Kampus Sintok manakala sebahagian yang lainnya adalah pelajar Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), pelajar francais dan pelajar di Kampus Transit Kuantan serta Kampus Sungai Petani.

Kampus Sintok telah dibina di atas sebuah lembah yang permai, dikelilingi bukit-bukau dan kehijauan hutan hujan tropika yang indah dengan flora dan faunanya. Di kampus ini mengalir Sungai Sintok dan Sungai Badak yang bertemu di tengah-tengah kampus, menambah cantikkan lagi pemandangannya.

Di lembah Sungai Sintok ini, sebelum terjadinya kampus UUM, terdapat sebuah lombong bijih timah terbuka. Perlombongan dan pembalakan merupakan dua aktiviti utama penduduk di situ pada masa dulu. Oleh kerana pengganas komunis mengeksploitasi penduduk yang dianggarkan seramai 3,000 orang di Sintok pada masa lalu, pihak pemerintah membuat keputusan memindahkan penduduk-penduduk tersebut ke kawasan lain di negeri Kedah lalu menutup pekan Sintok dan mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan hitam.

Sejarah Sintok bermula apabila ia diteroka oleh kaum Cina yang memulakan aktiviti melombong bijih timah di kawasan itu pada awal 1900-an. Kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan perlombongan ialah di Sintok, Kampung Sungai Badak dan Bukit Kachi. Hanya terdapat sejumlah kecil sahaja pekerja Melayu dan India di kawasan tersebut.

Sintok yang terletak 12 kilometer ke timur Changlun adalah kawasan yang terpencil. Keadaan fizikalnya yang berbukit-bukau dan merupakan satu kawasan hutan rimba yang luas menyebabkan perhubungan agak sukar, keselamatan penduduk sentiasa terancam oleh pengganas komunis. Di kawasan hutan ini juga terdapat rangkaian denai yang menghubungkan selatan Thailand, Sintok, Padang Sanai di Padang Terap hingga ke Nami dalam daerah Sik dan terus ke Baling seterusnya hingga ke kawasan Hulu Perak.

Parti Komunis Malaya yang memulakan kegiatan subversif dan keganasan selepas Perang Dunia Ke-2 menggunakan keistimewaan alam semula jadi untuk bergerak cergas di kawasan Sintok yang cukup strategik sebagai pangkalan aktiviti mereka di kawasan ini yang juga menjadi pintu masuk dari Thailand ke negara ini.

Di Sintok pada masa itu terdapat sebuah balai polis. Anggota polis di balai itu berfungsi hanya sebagai pengawas kepada pelombong dan pekerja balak.

Tugas mereka hanya terhad di kawasan balai sahaja. Bilangan anggota yang kecil dan kelengkapan senjata yang lemah membuatkan mereka tidak berupaya melawan kekuatan PKM.

Dalam sejarahnya, Sintok ditutup dua kali. Kali pertama apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 bila mana kawasan Sintok dikosongkan daripada sebarang kegiatan perlombongan dan pembalakan selama tiga tahun.

Apabila keadaan kembali aman, lombong bijih timah dibuka semula pada 1952. Penduduk yang dahulunya berpindah keluar dibenarkan pulang. Dalam masa yang singkat kawasan Sintok, Sungai Badak dan Bukit Kachi dihuni oleh hampir 3,000 orang, sebahagian besarnya berketurunan Cina. Pembukaan semula Sintok memberi kesempatan baru kepada anggota PKM. Mereka mula menyusun semula strategi keganasan dan menjadikan penduduk Sintok sebagai penyokong mereka. Balai Polis Sintok pada ketika itu berfungsi sebagai tempat membuat aduan dan mengawasi kegiatan penduduk Sintok untuk kes-kes biasa. Anggota-anggota polis memang sedar bahawa mereka sendiri adalah di bawah ancaman anggota PKM.

Apabila penduduk Sintok bertambah ramai dan PKM berjaya melakukan serangan hendap demi serangan hendap ke atas anggota keselamatan, PKM bertambah yakin bahawa mereka akan berjaya. PKM cuba menghidupkan kembali hubungan mereka dengan penduduk Sintok dengan menyebarkan berbagai-bagai propaganda.

PKM juga mengambil peluang untuk membuat dakyah dan menghasut pekerja supaya membenci kerajaan. Di samping itu mereka juga meminta supaya membekalkan makanan. Para pekerja lombong itu terpaksa melayan anggota PKM dengan baik.

Selepas 1969 PKM menjadikan peristiwa 13 Mei sebagai isu propaganda. Mereka menyatakan bahawa Kerajaan Perikatan melakukan kekejaman dan penindasan ke atas orang Cina. Mereka juga telah menyebarkan risalah komunis seperti Awakening News dan Mao's Quotation.

Setelah diteliti dari segi perkembangan kegiatan komunis dari awal maka pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Operasi Sempadan melancarkan Operasi Semai mulai 4 Ogos 1969 dan tamat sepenuhnya pada 16 Mac 1970. Operasi tersebut bertujuan untuk memutuskan rangkaian hubungan komunis dan menghalang propaganda daripada merebak dengan meluas.

Di samping itu ia juga bagi membolehkan pihak anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di kawasan Sintok. Operasi itu melibatkan pihak tentera, polis dan agensi lain yang berkaitan. Buat kali kedua penduduk Sintok diarah meninggalkan kawasan tersebut. Sebahagian mereka ditempatkan di kampung-kampung baru termasuk di Padang Lembu, Gurun, Kedah. Pekan Sintok dimusnahkan dalam erti kata dibakar dengan tujuan agar anggota komunis tidak dapat bertapak di Sintok.

Sejak tarikh itulah kawasan Sintok menjadi lengang tanpa penduduk dan diisytiharkan sebagai kawasan hitam sehinggalah ia digazetkan semula sebagai kawasan putih pada Disember 1988 memandangkan keadaan telah aman dan sekali gus bagi membolehkan pembinaan Kampus Sintok, kampus tetap UUM.

Hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh satu pasukan empat orang pegawai UUM terdiri daripada Abdul Wahab Awang (kini Ketua Penolong Pendaftar STM), Mohd. Shahreza Kader Asna (kini Pensyarah SBPS),

Allahyarham Hashim Yassin (ketika itu Penolong Pegawai Kebudayaan) dan penulis sendiri, sebanyak 35 nama anggota keselamatan dan juga orang awam termasuk dua orang isteri anggota polis telah dikenal pasti sebagai mangsa yang terkorban akibat keganasan komunis di sekitar kawasan Sintok.

Sebahagiannya tidak mempunyai rekod yang lengkap dan sukar untuk mendapatkan nama penuh mereka.

Naib Canselor UUM ketika itu, Tan Sri Datuk Dr. Othman Yeop Abdullah (kini Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) telah mengarahkan dibina sebuah tugu yang dikenali sebagai Tugu Peringatan Sintok yang dirasmikan oleh Tuanku Sultan Kedah pada 21 April 1992.

Tugu ini didirikan di dalam kawasan kampus berhampiran dengan markas Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) UUM. Kawasan ini dinamakan Dataran Perwira. Pada tugu tersebut telah dipahatkan nama 35 mereka yang terkorban itu. Reka bentuk tugu adalah hasil ilham Arkitek UUM, Ismail Abdullah. Tujuan tugu ini dibina ialah untuk menjadi mercu tanda peringatan dan menimbulkan keinsafan kepada warga UUM serta generasi akan datang bahawa UUM yang tersergam indah dengan kemudahan serba canggih dan mendapat Status MSC ini ditegakkan di atas keringat serta titisan darah dan air mata generasi terdahulu.

Adalah menjadi harapan pucuk pimpinan Universiti agar keinsafan itu akan mencetuskan semangat di kalangan warga UUM semoga mereka menuntut ilmu, menabur budi dan mencurah bakti dengan penuh ikhlas dan kesyukuran serta mengesampingkan kepentingan-kepentingan peribadi sejajar dengan motto UUM 'Ilmu, Budi, Bakti.'

Bagi mencatat kisah di Sintok ini sebagai dokumen sejarah, Arkib Negara Malaysia cawangan Kedah/Perlis dengan kerjasama UUM menganjurkan satu majlis pengkisahan sejarah 'Darurat di Sintok' di Pusat Konvensyen UUM Sabtu lalu.

Majlis pengkisahan ini akan dijayakan oleh tiga orang lama yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan sejarah di Sintok. Mereka ialah Syed Shahil Syed Muhamad, Ahmad Ariffin (penyajak Affrini Adham) dan Puan Som Awang.

Syed Shahil, 77 tahun berasal dari Arau, Perlis memulakan tugasnya sebagai Leftenan di dalam Rejimen Ke-3 Askar Melayu Diraja (3 Melayu). Pada masa Darurat beliau bertugas dengan Rejimen Ke-5 Askar Melayu yang berpangkalan di Kepala Batas, Alor setar. Salah satu tanggungjawab sebagai pegawai agama yang diamanahkan kepada beliau ialah menguruskan jenazah mangsa yang terkorban dalam serangan-serangan hendap oleh pihak pengganas.

Beliau menghadapi saat yang mencemaskan dan berjuang seperti telur di hujung tanduk. Satu daripadanya ialah apabila pengganas komunis memasang bom tangan pada mayat yang sedang diuruskan jenazahnya. Beliau juga dapat menyaksikan banyak kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis semasa beliau menguruskan jenazah-jenazah anggota keselamatan yang terbunuh.

Ahmad Ariffin yang lebih dikenali sebagai Affrini Adham, 73 tahun, yang berasal dari Alor Setar mempunyai kenalan yang ramai termasuk berkawan rapat dengan Din Ker iaitu Ketua Platoon, PKM Kawasan Padang Terap.

Din Ker merupakan 'talibarut' dan penghubung kuat antara pihak perisik polis dengan PKM dan memberi maklumat mengenai saki baki pengganas komunis.

Semasa darurat di Sintok Din Ker yang berketurunan Siam ini walau bagaimanapun telah menyerah diri dan mendapat keampunan daripada kerajaan dan terus tinggal di Wad Siam Kampung Titi Akar dalam daerah Pendang, Kedah.

Peristiwa Bukit Kepong

Peristiwa Bukit Kepong (23/2/1950)

Peristiwa Bukit Kepong adalah kesan kekejaman pengganas komunis semasa keadaan darurat selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Dalam mempertahankan balai polis Bukit Kepong, 17 orang anggota telah terkorban.

Intro

Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya (berbangsa Cina)semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.

Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:

1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
2. Keadaan balai polis yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.

Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ.

Serangan Komunis


Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu dan Komisser Goh Peng Tun. Pihak komunis mengepong balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi. Apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat duri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Allahyarham Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran. [1]

Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan komunis.

Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Allahyarham Konstebel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan baai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek pasangan kawin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

14 anggota polis termasuk Allahyarham Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Bantuan dari perkampungan berdekatan

Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Kampung Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari stesen pokis Bukit Kepung. Mereka kekurangan senjata berbanding komunis yang menggunakan senjata automatik berbanding raifal dan senapang patah yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.

Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Ali Mustafa mengarah pengawalnya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.

Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada 10am dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan. [2]

Selanjutnya

Apabila pengawal kampung memasuki kampung Bukit Kepung, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Ketua kampung mengambil alih pentakbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapu mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texans) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.

Mereka yang terselamat

Anggota Polis

1. Konstabel Othman Yusoff (meninggal);
2. Konstabel Marin Abu Bakar Daud (meninggal);
3. Konstabel Tambahan Ahmad Khalid (meninggal);
4. Sarjan Haji Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)

Ahli keluarga anggota

1. Mariam Ibrahim - balu Allahyarham Konstabal Muhamad Jaafar
2. Zainun Muhamad - anak perempuan Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
3. Abu Samah Muhammad - anak lelaki Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
4. Zaleha - anak perempuan Allahyarham Konstable Muhamad Jaafar
5. Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
6. Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
7. Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Allahyarham Konstabel Hassan Osman
8. Pon Khalid - isteri Allahyarham Konstabel Marin Awang Ali
9. Fatimah Tuani - isteri Allahyarham Konstabel Hamzah Ahmad

Mereka yang terbunuh dalam pertempuran

Anggota Polis

1. Allahyarham Sarjan Jamil Mohd Shah (KPB Bukit Kepong)
2. Allahyarham Koperal Mohd Yassin Haji Wahab
3. Allahyarham Lans Koperal Jidin Omar
4. Allahyarham Konstabel Hassan Osman
5. Allahyarham Konstabel Hamzah Ahmad
6. Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan
7. Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
8. Allahyarham Konstabel Marin Ibrahim Adam
9. Allahyarham Konstabel Abu Mohd Ali
10. Allahyarham Konstabel Abu Kadir Jusoh
11. Allahyarham Konstabel Marin Awang Ali
12. Allahyarham Konstabel Marin Basiron Adam
13. Allahyarham Konstabel Tambahan Mohd Top Lazim
14. Allahyarham Konstabel Tambahan Jaafar Arshad

Polis Bantuan

1. AP Samad Yatim
2. AP Mahmood Saat
3. AP Ali Akop
4. AP Othman Yahya

Keluarga Anggota .

1. Fatimah Yaaba - isteri kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
2. Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
3. Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
4. Simah Abu - anak kepada Konstabal Abu Mohd Ali

Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis .

1. AP Redzuan Alias
2. Embong Lazim
3. Koh Ah Cheng

Gagasan Malayan Union

Gagasan Malayan Union (1/4/1946)

Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.

Rasional untuk pembentukan Malayan Union


Seawal 1943, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II bertamat. Unit perancangan tersebut mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Union, sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.

Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya di Timur Jauh.

Salah satu daripada sebab utama untuk pembentukan Malayan Union ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Sebagai salah satu daripada penandatangan Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri, Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak orang mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British.

Butiran utama Malayan Union

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing dan terus memerintah bersama dengan sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor tersebut, tetapi kedaulatan dipindah kepada Kerajaan British. Baginda-baginda akan mengekalkan kuasa hanya dalam hal-hal yang berkenaan dengan agama Islam sahaja. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor.

Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi ras dan kepercayaan.

Peringkat memperkenalkan Malayan Union

Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi pemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana merumitkan cadangan Union yang sudah cukup susah.

Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael, seorang yang pernah menjadi penjaga kepada beberapa putera Melayu, untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian baru daripada sultan-sultan untuk membentukkan Malayan Union. Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael memaksakan sultan-sultan untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan diganti di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan peranan baginda-baginda semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah dikritikkan, sultan-sultan itu berhasrat benar untuk menunjukkan kesetiaan kepada pihak British. Semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka cuma membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan.

Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada lewat Januari 1946.

Gerak balas daripada kaum Melayu


Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap tidak peduli, bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan juga mengkritikkan sesetengah peruntukan. Pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam Tanah Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan menuduh MacMichael kerana menggunakan 'cara-cara ugutan' untuk memperoleh persetujuan sultan-sultan Melayu terhadap perjanjian-perjanjian baru. Lobi Tanah Melayu lama di Parlimen bergabung dengan bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang terkenal seperti Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard untuk menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat penentangan yang hebat terhadap Malayan Union dan akhirnya berjaya untuk menyebabkan pemansuhan skim itu.

Sultan-sultan Tanah Melayu juga dipengaruhi oleh perasaan anti Malayan Union dan membantah terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan mencadangkan suatu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu telah dimajukan dengan lebih berkesan oleh suatu kuasa politik baru yang termuncul untuk meyalurkan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Penubuhan UMNO

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

Pelaksanaan Malayan Union

Meskipun penentangan Melayu yang begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah begitu berkesan sehingga rancangan itu tidak pernah dikuatkuasakan. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama dipulau oleh kesemua orang Melayu sepenuhnya. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada keseluruhannya pada 1 Februari 1948 ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan. Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, terutamanya melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh golongan-golongan etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di tanah air serta lobi Parlimen yang kuat ataupun penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Terutamanya, orang-orang Cina berasa dikhianati kerana mereka menganggap bahawa mereka telah membuat pengorbanan yang lebih besar dan merupakan golongan yang paling setia kepada pihak British sepanjang peperangan. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini memperlihatkan Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah masyarakat yang adil.

Garis masa

* 14 Ogo 1941: Britain memeterai "Piagam Atlantik" yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri.
* 1943: Pembentukan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II.
* Januari 1944: Cadangan untuk Malayan Union dikemukakan buat pertama kali oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, di Parlimen United Kingdom.
o Musim bunga: Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian yang baru daripada sultan-sultan untuk bersetuju dengan Malayan Union.
* 03 Sep 1945: Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
* 21 Dis 1945: Setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian baru untuk membentukkan Malayan Union.
* Januari 1946: Pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union melalui sebuah Kertas Putih.
* 1 Mac 1946: Kira-kira 200 orang Melayu yang mewakili 41 buah persatuan berhimpun di Kuala Lumpur untuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress). Kongres itu membincangkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.
* 01 Apr 1946: Malayan Union diisytiharkan oleh kerajaan jajahan British.
* 01 Mei 1946: Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.
* 01 Feb 1948: Malayan Union dibatalkan pada keseluruhannya ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan.

Pemberontakan Bersenjata Parti Komunis Malaya

Pemberontakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (1948 - 1989)


Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu mulai 8 Disember 1941 telah memberi peluang kepada Parti Komunis Malaya untuk memperkuatkan organisasinya. Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada 20 April 1930 telah bekerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940.


Kampung Baru 1948-1960

Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang.

Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA. Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang-orang Melayu mulai bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Bagi meraih simpati, mengindoktrinasi fahaman komunis dan mendapatkan sokongan orang-orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 1945. Parti Komunis Malaya telah menguasai Parti Kebangsaan Melayu Malaya melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.

Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini yang diadakan pada 28-29 Disember 1955 tidak membawa apa-apa keputusan drastik. Ini disebabkan kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Pihak kerajaan yang telahpun mencapai kemajuan dalam membasmikan Parti Komunis Malaya, dan menimbangkan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap rakyat sebelumnya, menolak usul membenarkan Parti Komunis Malaya dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa Parti Komunis Malaya bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan Tanah Melayu dan Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya.

Selepas sekian lama dan atas kesedaran pucuk pimpinan Parti Komunis Malaya, maka pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) telah ditandatangani di antara Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Perjanjian bersejarah itu telah menamatkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya selama 41 tahun dan mengembalikan taat setianya kepada Yang DiPertuan Agung dan patuh kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.

Darurat di Malaya

Darurat di Tanah Melayu berlaku pada tahun 1948 hingga 1960 disebabkan persengkatan antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan British di Tanah Melayu.

Darurat diisytiharkan pada 7-7-1948.

Punca darurat

Bolehlah dikatakan bahawa segala bermula selepas pendudukan Jepun 1942-1945. PKM dan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). Nasionalisme orang Tanah Melayu yang telah dipengaruhi oleh orang Jepun semasa pendudukannya telah mendorong kepada mereka supaya ingin bekerajaan sendiri.

Pembunuhan seramai tiga orang pengurus ladang berbahasa Inggeris di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948, telah menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu. Sebulan selepas itu PKM diharamkan.

Yang paling teruknya, boleh dikatakan dengan pengharaman PKM oleh kerajaan British kerana dianggap sebagai parti politik yang radikal. Pengharaman ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati oleh kebanyakan ahli dalam PKM kerana jasa mereka telah dilupakan oleh British semasa dalam penentangan Jepun.

Dengan itu, ketua PKM, telah mengubahkan dasarnya yang bersikap sederhana kepada bentuk yang agresif, iaitu dengan pembunuhan. PKM memulakan dengan mogok bersama dengan kesatuan sekerja, serta penubuhan Persatuan Buruh Baru (New Democratic Youth League).

Namun, pemogokan itu telah gagal dan undang-undang yang baru dibuat oleh British untuk melemahkan PKM, seterusnya PKM menggunakan serangan bersenjata untuk mendapatkan apa yang mereka dirasa patut.

Hubungan PKM dan British yang semakin teruk dan setelah Chin Peng sebagai ketua yang baru, gerakan bersenjata dibuat, dengan pembunuhan 3 ketua Kuo Min Dang (KMT), dan 3 orang pengurus ladang getah yang berbangsa Eropah, termasuk 1 penolong, pada 12-6-1948 dan 15-6-1948. Darurat Negeri diisytiharkan di Johor pada 19-6-1948.
Langkah mengatasi darurat

Undang-undang Darurat telah diisytiharkan. Antaranya adalah termasuk:

1. Parti politik yang bersifat radikal diharamkan.
2. Sesiapa yang disyaki dengan kegiatan komunis akan ditangkap, serta dibuang negeri.
3. Hukuman bunuh dibuat untuk sesiapa yang dianggap bersuhabat dengan komunis.

Pada masa darurat kira-kira 40,000 tentera termasuk beberapa rejimen askar Melayu telah dikerah untuk menghapuskan anasir komunis. Mereka dilengkapkan dengan peralatan kelengkapan perang, seperti meriam, kapal terbang, dan kapal laut.

Ketenteraan British juga telah diperketatkan. Polis British dan mata-mata khas telah bertambah ke 70,000 orang. Home Guard diperkenalkan supaya lebih banyak orang yang mampu membanteras komunis, iaitu sebanyak 200,000 orang. Bantuan tentera dari Komanwel (British, Australia, New Zealand, Gurkha dan Fiji), Polis Khas dan Perkhidmatan Negara telah dibuat.

Perintah Berkurung telah dibuat di kawasan yang telah mempunyai pengaruh komunis.

Kawasan Putih dan Hitam telah diperkenalkan supaya British boleh memudahkan proses mereka dalam membanteras komunis. Kawasan Putih adalah bermaksud kawasan tersebut telah bebas daripada anasir komunis, dan sebaliknya yang ada pada kawasan hitam. Antara semua negeri, Melaka adalah negeri yang pertama mendapat gelaran Kawasan Putih.

Sekatan jalan raya dan kawalan kampung telah dibuat oleh Home Guards di kawasan yang mungkin sebagai kawasan yang mempunyai pengaruh komunis, dengan itu, mereka boleh menyemak sesiapa sahaja dan juga berhak merampas barang yang mereka ada.

Kad Pengenalan diwajibkan supaya mereka boleh menangkap sesiapa sahaja yang tidak ada kad pengenalan. Kerajaan British telah mewajibkan semua penduduk Tanah Melayu mesti membuat kad pengenalan sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun sahaja.

Sir Harold Briggs juga melancarkan rancangannya (Rancangan Briggs) untuk membanteras komunis. Rancangannya adalah termasuk:

1. Penempatan semula orang Cina. Ini adalah kerana sebahagian besar daripada ahli PKM adalah orang Cina, dan banyak orang Cina telah tinggal di kawasan setinggan semasa pendudukan Jepun (Rujuk pendudukan Jepun). Dengan kawalan dari orang Cina, jadi masalah untuk membanteras komunis adalah lebih senang.
2. "Kampung Baru" telah diperkenalkan. Kampung telah dibina di bahagian kawasan baru yang dipilih adalah dibuat untuk menempatkan orang Cina.

Kedua-dua langkah ini adalah penting, kerana kawasan setinggan orang Cina dianggap sebagai sarang untuk PKM dan tempat PKM untuk mendapatkan maklumat serta makanan. Dengan setiap Kampung Baru yang dikawal oleh Home Guards, jadi peluang untuk PKM and Min Yuen (pengintip PKM) untuk memberi malumat dan barang keperluan kepada PKM yang melancarkan serangan gerila.

Meskipun pasukan keselamatan telah diperkuatkan, namun tindakan ketenteraan secara langsung untuk menghapuskan komunis kurang berjaya. Ini kerana kumpulan komunis tidak bertempur secara berdepan. Tetapi mereka menjalankan tindakan secara gerila.

Terdapat juga kumpulan yang membantu dan memberi sokongan kepada Parti Komunis Malaya iaitu Min Yuen.

Undang-undang darurat telah ditamatkan pada 31 Julai 1960. Dalam tempoh 12 tahun perintah darurat dilaksanakan, kira-kira 11000 nyawa terkorban, termasuk 2500 orang awam.

Bagi menangani ancaman komunis, secara ringkasnya, pihak British telah melaksanakan beberapa dasar:-

1. Pembahagian daerah kepada kawasan putih dan kawasan hitam.
2. Memindahkan setinggan berhampiran hutan ke kawasan selamat terlindung daripada peras ugut pengganas dalam rancangan yang dikenali sebagai kampung baru.
3. Pengenalan sistem kad pengenalan bagai memudahkan seseorang itu dikenal pasti.
4. Menggunakan pengangkutan udara bagi membawa tentera bagi menggempur pengganas. Sekarang ini dikenali sebagai kumpulan tindak pantas. Setiap kali pengganas menyerang, mereka akan diburu habis-habisan bagi melemahkan semangat mereka bagi menyerang (discourage).
5. Memperkenalkan ISA.
6. Memberi pengampunan bagi pengganas yang menyerah melalui risalah yang disebarkan melalui unit udara.
7. Memperkenalkan sukarelawan kampung / pengawal kampung yang bersenjata.
8. Mendirikan balai polis dikawasan yang terancam / kawasan hitam.

Bagaimanapun kesemua taktik ini tidak akan berjaya sekiranya ia tidak disokong oleh penduduk tempatan. Ini terbukti dalam perang Vietnam, di mana pihak Amerika cuba meniru taktik British di Malaysia tetapi masih kalah dengan teruknya. Dengan itu kesemua taktik ini hanya membantu, tetapi sokongan padu kesemua rakyat berbilang kaum masih diperlukan bagi menangani anasir-anasir musuh.


Langkah bukan bentuk ketenteraan

Langkah berbentuk sosial juga dibuat kerana hati rakyat Tanah Melayu perlu diambil juga. Antara yang paling popular adalah berbentuk:

1. Catuan makanan dibuat. Ini adalah kerana sebahagian daripada penduduk Tanah Melayu yang adalah ahli Min Yuen (Mereka bukan ahli tentera dalam PKM, tetapi sebagai pengintip) Dengan makanan yang terhad, maka makanan dan belakan yang lain adalah terhad dan mereka tidak mampu untuk memberikan makanan mereka kepada ahli tentera PKM yang berada di dalam hutan.
2. Perang psikologi juga dibuat untuk mengumpan rakyat Tanah Melayu mendapatkan ganjaran untuk pemberitahuan sarang setiap ahli PKM dengan gangaran untuk ahli PKM yang menyerah diri. Dianggarkan bahawa ganjaran sebanyak $5,000 untuk setiap ahli PKM yang menyerah diri, serta $25,000 untuk sesiapa yang mampu menangkap Chin Peng.
3. Pembentukan Malaysia. Merdeka yang diisytiharkan pada 31-8-1957 juga telah menghalang alasan untuk PKM membentuk negara komunis yang diidamkan. Ini telah membawa kepada mereka untuk membuat rundingan Baling dengan wakil UMNO.
4. Langkah untuk menyatupadukan kaum juga telah dibuat oleh UMNO, iaitu dengan gabungan MCA (Tan Cheng Lock), UMNO (Tunku Abdul Rahman), serta MIC (E.E.C. Tsuringam), tetapi langkah ini telah dibuktikan gagal kerana Peristiwa 13 Mei ataupun rusuhan kaum yang berlaku pada tahun 1963.

Pejuang Negara

Tok Janggut

Oleh Nasron Sira Rahim (www.bharian.com.my)

INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

PROFIL
HAJI MAT HASSAN PANGLIMA MUNAS
Gelaran lain: Tok Janggut
Tahun lahir: 1850
Tempat lahir: Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan.
Tahun kematian: 1915 (berusia 65 tahun).
Sumbangan: pejuang kebebasan Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.


Tok Janggut Di gantung songsang


Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.


Mayat Tok Janggut

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.

Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan



Mat Kilau

Oleh Shaarani Ismail (www.bharian.com.my)

Pejuang Melayu Pahang didakwa meninggal dunia pada 22 Oktober 1895 dedah diri sebenar di Pulau Tawar pada 1969



PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah.

Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.

Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.

Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.

Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.

Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.

Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.

Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.

Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.

Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.


Dol Said
Oleh Nasron Sira Rahim (www.bharian.com.my)

Pemerintah Naning susun strategi perang gerila, guna senjata tradisional untuk tumpaskan askar British ketika perang empat bulan

ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832.

Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu, apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka.

Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar.

Pengkaji Sejarah yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu menyebabkan tentera British kelam-kabut.

“Mungkin ia disebabkan ‘keramat’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira empat bulan, akhirnya pasukan Penghulu Naning itu tewas kepada kemampuan meriam serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu kemudian dijajah pada Jun 1832.

Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling rendah.

Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada negeri kecil Naning pada 1831 yang mana penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional.

Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, Dr Abdullah menjelaskan bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said. Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka.

“Dol Said ketika itu adalah pemerintah Naning iaitu sebuah negeri yang berjiran dengan Melaka; walaupun jawatannya adalah penghulu atau digelar Datuk Seroja Merah mengikut adat pepatih, tetapi tarafnya menyamai raja dan sultan.

“Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Penghulu Naning, selain suku Biduanda,” katanya. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Penghulu Naning kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun.

Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi.

Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning.

Peperangan berdasarkan negeri jiran mereka iaitu Melaka dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa asing itu.

“Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British,” katanya.

Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air merdeka mereka iaitu Naning.

“Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat Naning yang diwakili Penghulu Dol Said dan empat ketua suku dengan British, disebabkan Naning adalah negara jiran kepada Melaka yang dikuasai British.

“Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan.

“Dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka,” katanya.

Dr Abdullah berkata, apabila Melaka dipulangkan kembali British kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon pada 1818, perjanjian penghantaran hasil itu mungkin turut dimansuhkan.

Belanda memerintah Melaka selama kira-kira tujuh tahun sebelum diserahkan kepada British melalui Perikatan London 1824. Apabila British kembali memerintah, mereka ingin menguatkuasakan kembali perjanjian penghantaran hasil tahunan Naning yang sudah dimansuhkan.

Bagaimanapun, takrifan satu persepuluh daripada hasil pertanian Naning seperti dikemukakan British adalah melampau dan terlalu tinggi sehingga membebankan penduduk.

“Konflik timbul apabila British mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka dan berada di bawah pemerintahan British tetapi ia disangkal Dol Said yang menyatakan bahawa Naning adalah negeri merdeka.

“Dol Said sanggup menghantar hasil tahunan sebagai tanda persahabatan tetapi tidak mahu menghantar jika British menganggap yang negeri itu adalah sebahagian dari Melaka dan mereka mesti tunduk kepada British,” katanya.

Konflik itu berlarutan apabila Naning enggan tunduk kepada undang-undang diperkenalkan British apabila pada 1828, Dol Said menyelesaikan sendiri satu kes bunuh di Naning. Tindakan itu menyemarakkan lagi sengketa apabila British mendakwa kes bunuh itu perlu dihakimi oleh mereka di Melaka kerana Naning adalah sebahagian dari Melaka.

“Dol Said diberi amaran oleh British berhubung perkara itu sehingga membangkitkan kemarahan tokoh itu.

“Gabenor Negeri-negeri Selat (negeri-negeri selat adalah Pulau Pinang, Singapura dan Melaka yang diperintah British) iaitu Ibbetson melihat Naning sebagai jajahan Melaka yang ingkar dan menentang British menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri itu,” katanya.

Keputusan itu menjadi pencetus kepada Perang Naning Pertama 1831. Sikap angkuh British menyebabkan mereka memandang rendah terhadap Naning dengan anggapan bahawa negeri kecil dan miskin itu mampu dikalahkan dalam tempoh sehari saja.

Lalu mereka menghantar pasukan kecil tentera iaitu seramai 150 anggota yang diketuai Kapten Wyllie untuk menyerang negeri itu pada 6 Ogos tahun itu.

“Dol Said sudah menyedari rancangan serangan British itu menyebabkan dia mengumpul penduduk Naning dan mendapatkan bantuan ketenteraan negeri jiran antaranya dari Yamtuan Ali Rembau, Pembesar Sri Menanti, Penghulu Linggi dan Datuk Kelana Sungai Ujong,” katanya.

Tanpa pengetahuan British, pasukan Naning sudah dibentuk dengan kira-kira 4,000 kekuatan tentera untuk menghadapi 150 tentera British. Bagaimanapun, British memiliki beberapa kelebihan kerana memiliki senapang dan membawa sebuah meriam manakala pasukan Dol Said sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Selain kekuatan anggota, Dol Said juga bijak merencanakan strategi perang apabila melancarkan serang gerila. Tentera British sentiasa diserang di kawasan hutan sejak mereka memulakan ekspedisi ke Naning.

“Pasukan gerila hutan Dol Said menggunakan taktik menanam ranjau sebagai jerangkap samar ketika tentera British melalui laluan hutan. Mereka turut menebang pokok merentangi laluan tentera British sekali gus menghalang perjalanan mereka kerana British membawa meriam menggunakan kereta lembu.

“Ketika tentera British sibuk dan leka membersihkan laluan dan mengalihkan pokok yang ditebang, pasukan Dol Said menyerang hendap mereka dan taktik serupa dilakukan berulang kali sepanjang laluan dari Melaka ke Naning,” katanya.

Beliau berkata, taktik itu nyata berkesan apabila tentera British terpaksa melarikan diri pulang ke Melaka akibat kecederaan, walaupun perjalanan mereka sudah memakan masa kira-kira 18 hari dan sudah sampai di Meleket iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Naning. Melihat pasukan mereka pulang dengan kecederaan dan kalah teruk sebelum sempat menjejakkan kaki di Naning, pemerintah British menjadi berang dan mereka kembali mengumpul kekuatan untuk melancarkan gelombang Perang Naning Kedua 1832.

PROFIL: Dol Said
Nama sebenar: Abdul Said
Tahun lahir: 1773
Tahun kematian: 1849 (76 tahun)
Suku kaum: Semelenggang.
Asal: Naning (kini Alor Gajah, Melaka)
Sumbangan: Pemerintah Naning kesembilan, tokoh penentang British.

Penjajah tawar wang tunai tangkap Datuk Seroja Merah

SELAIN mengumpulkan bala tentera untuk menyerang habis-habisan tentera Dol Said pada Perang Naning Kedua 1832, British turut mengeluarkan tawaran lumayan kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Dol Said dan pengikutnya.

Tawaran itu berupa 1,000 wang Sepanyol bagi tangkapan hidup atau mati Dol Said dan 200 Sepanyol kepada pengikut tokoh itu iaitu Andika, Petah Melayu, Cik Had dan Cik Mohamad.

Pada Februari 1832, gerakan memerangi dan menawan Naning kali kedua dilancarkan British dengan kekuatan tentera antara 1,200 hingga 1,400 anggota diketuai Kolonel Herbert.

Tentangan kali ini bagaimanapun menimbulkan kesulitan pada pihak Dol Said kerana negeri jiran mereka tidak lagi mahu menghulurkan bantuan ketenteraan selepas negeri jiran itu diugut British.

Malah, ada antara negeri jiran Naning itu bertukar sokongan dengan memberi bantuan kepada British lantaran takut penjajah itu menyerang mereka pula.

Selepas bertempur sengit sehingga berlarutan selama tiga bulan, dengan kekuatan tentera terhad hanya kepada penduduk Naning selain kelemahan aspek senjata, pasukan Dol Said gagal mempertahankan tanah air mereka itu.

Pahlawan itu dan beberapa pengikutnya terpaksa berundur ke Pasir Besar dan Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Setahun menyembunyikan diri, Dol Said menyerah diri kepada British.

Beliau tidak dikenakan hukuman berat oleh British melainkan jawatannya dilucutkan dan dia menjadi rakyat biasa. Negerinya diambil British dan dia hanya digantikan dengan sebuah rumah dan pencen 100 rupee sebulan oleh tentera asing itu.

Beberapa pengikutnya yang lain dihukum buang negeri ke India. Hidup sebagai rakyat kebanyakan, Dol Said meninggal dunia pada Ogos 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.

Dr Abdullah mendiamkan diri seketika selepas selesai menceritakan perjuangan wira bangsa itu. Kemudian dia memandang penulis dan selepas selesai berfikir, beliau memulakan bicara:

“Inilah semangat perjuangan bangsa Melayu terdahulu, kehadiran kuasa Barat tidak kita terima dengan mudahnya dan mereka menghadapi tentangan hebat. Kemenangan dalam Perang Naning Pertama 1831 membuktikan yang semangat bersatu padu dan strategi peperangan membolehkan kita menang.

“Walaupun ketika itu kita tidak memiliki senjata hebat, kita menang kerana bersatu. Perang Naning Kedua 1832 sendiri menjadi contoh jika bangsa Melayu tidak bersatu, ditambah pula jika ada antara bangsa Melayu yang menyokong Barat, kita akan menemui kekalahan,” katanya.

Seketika Dr Abdullah kembali menjengah ruang fikir. Beliau melihat persamaan antara sikap angkuh British kononnya sebagai kuasa besar dan memandang rendah terhadap kuasa kecil Naning, sama sekali dengan kekalahan Amerika terhadap Vietnam dalam Perang Vietnam pada 1959 hingga 1975.

“Sayang sekali tiada pihak yang merekodkan peribadi dan fizikal Dol Said sekali gus menyebabkan kita kehilangan satu cebisan warisan sejarah. Mungkin ketika itu sudah ada orang Melayu yang melukis tetapi tiada lakaran wajah dan jasad Dol Said yang kita temui.

“Seorang tentera yang terbabit dalam dua perang Naning itu iaitu PJ Beg Bie menulis mengenai Perang Naning dalam bukunya The Malayan Peninsular tetapi tidak menyatakan perwatakan Dol Said,” katanya.

Beliau berkata, penulis sejarah terdahulu seperti Abdullah Munshi pula tidak menulis mengenai perwatakan pejuang itu kerana Abdullah berfikir bahawa sudah ada tulisan mengenai perang Naning, jadi beliau tidak perlu menulis lagi.

Mat Salleh pahlawan terbilang Melayu Sabah

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

British bersetuju beri kuasa kepada anak pembesar Sulu tadbir Tambunan selepas berdamai pada April 1898

PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu.

Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya.

Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung.

Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk.

Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk.

British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam.

Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina.

Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk.

Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British.

Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan.

Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari.

Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British.

Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap.

Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya.

British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya.

Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu.

Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah.

Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal.

Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya.

Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British.

Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh.

Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan.

Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan.

Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban.

British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar.

Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu.

Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan

UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan.

Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan.

Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu.

Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan.

Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu.

Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega’as dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja.

Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya.

Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing.

Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British.

Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar.

Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: “Mat Salleh.”

Sumber: Sejarah ringkas Sabah; Perjuangan Mat Salleh di Sabah; Mat Salleh pahlawan Sabah; Sejarah Malaysia; www.mzm.sabah.gov.my (laman web Muzium Sabah).

FAKTA:
Antara syarat perjanjian damai British-Mat Salleh pada 19 April 1898.

# British berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan penjajah bersetuju memberi kuasa kepada pahlawan Sabah mentadbir Tambunan.

# Mat Salleh dan pengikutnya yang menentang British diberi pengampunan.

# Penduduk di Sungai Inanam yang dikeluarkan dari tempat itu oleh kerajaan dibenarkan kembali selepas kekacauan di tempat itu dapat dihentikan.

# Mat Salleh dibenar menetap di Tambunan dan lain-lain daerah di pedalaman kecuali di Sungai Sugut dan Sungai Labuk. Beliau juga diminta memberi kerjasama dan mengarahkan pengikutnya mengikut arahan dan peraturan kerajaan.

# Mat Salleh diminta membantu kerajaan menangkap sesiapa saja yang melakukan kesalahan dan melaporkan kepada kerajaan segala pergerakan yang dilakukan olehnya.

Masyarakat berbilang kaum


Apakah makna negara Malaysia berbilang kaum???

Pengertian masyarakat majmuk berbeza bagi setiap negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum misalnya Singapura yang mendakwa ianya negara berbilang kaum tetapi secara dasarnya adalah sebuah Negeri yang dikuasai oleh penduduk berketurunan Cina yang besar.

Kerana keengganan keturunan kaum pendatang dari China dan India untuk di serap ke dalam masayarakat pribumi, kita terpaksa terima pengekalan identiti rakyat Malaysia daripada keturunan Cina dan India. Orang keturunan Indonesia memilih untuk diserap sebagai kaum pribumi oleh itu mereka tidak terbahagi kepada kaum-kaum yang berlainan.

Negara berbilang kaum pada kebiasaannya tidak stabil. Ketegangan kaum kerap berlaku. Jika Malaysia hendak mengelakkan konflik antara kaum ianya mesti cuba kurangkan perbezaan diantara kaum-kaum tersebut.

Kita tidak boleh menukar etnik. Jadi kita perlu menerima perbezaan etnik yang terdapat. Perbezaan agama juga tidak boleh ditukar.

Bagaimanapun, beberapa aspek perbezaan kebudayaan boleh di jadikan sesatu yang boleh diterimapakai oleh semua kaum. Makanan Cina di Malaysia melihatkan pengaruh cita rasa Melayu dan India. Kita juga boleh meraikan perayaan kaum-kaum lain dan sebagainya.

Perbezaan tahap pencapaian ekonomi merupakan satu masalah besar. Tetapi ianya juga merupakan satu bidang di mana pembetulan dapat dibuat dan ketegangan kaum dapat dikurangkan.

Jika kita mahu melihat, kita akan dapati bahawa walau di dalam negara yang mempunyai satu etnik sahaja pun perbezaan di dalam agihan kekayaan akan membawa kepada konflik. Sebab utama ideologi Sosialis dan Komunis diperkenalkan dan diterima pakai kelas pekerja adalah kerana jurang kekayaan yang terlalu besar di antara pekerja dan majikan. Tetapi Sosialis dan Komunis kerap membantutkan pertumbuhan ekonomi sehingga bukan sahaja yang kaya merasai kesan buruknya, tetapi juga yang miskin.

Kesatuan Sekerja juga boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana ianya sering disalahguna oleh pihak tertentu dengan, mengadakan mogok kerana sebab-sebab politik.

Konfrantasi di antara pekerja dan majikan, yang pada dasarnya adalah antara yang kaya dan yang miskin kerap berlaku termasuk di negara-negara bukan berbilang kaumpun.

Jika pekerja dan yang miskin sebahagian besarnya terdiri daripada satu kaum di dalam sebuah negara berbilang kaum manakala yang menjadi majikan yang kaya pula adalah daripada kaum yang lain, permusuhan antara kelas akan menjadi lebih buruk kerana perbezaan kaum. Itulah yang terjadi di Malaysia sebelum 1969, dan kita tahu hasilnya.

Kepimpinan Melayu, Cina dan India ketika itu bersetuju bahawa perbezaan kekayaan diantara kaum mesti dikurangkan. Oleh sebab itu kita telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan menghapuskan identiti kaum dengan fungsi ekonomi.

Malangnya tindakan yang diambil tidak dapat tidak melibatkan diskriminasi terhadap kaum Cina dan India untuk memberi keutamaan kepada kaum Bumiputera. Ini menyebabkan ketidak puasan hati kerana di dalam kaum yang termaju dan mewah sekalipun terdapat sebilangan yang miskin. Mereka ini akan lebih merasai diskriminasi.

Satu lagi aspek DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Daripada kajian yang dijalankan amat jelas bahawa terdapat lebih banyak kemiskinan di kalangan pribumi berbanding kaum Cina. Kemungkinan kemiskinan dapat di hapuskan di kalangan kaum Cina adalah lebih besar berbanding Melayu dan penduduk pribumi di sabah dan Sarawak. Malangnya pemimpin kaum India tidak membangkitkan masalah kemiskinan di kalangan mereka.

Jika kita hendak memperbetulkan ketidakseimbangan ini, adalah perlu untuk kita cuba mengurangkan kemiskinan di kalangan pribumi berbanding di kalangan kaum Cina. Tetapi jika terdapat di kalangan orang Cina yang miskin yang menunjukkan kebolehan luar biasa, umpamanya mendapat keputusan pepriksaan yang cemerlang, mereka tidak harus diketepikan daripada mendapat bantuan hanya kerana mereka adalah daripada kaum yang lebih kaya.

Secara prinsipnya DEB amat baik, tetapi di dalam pelaksanaannya terdapat beberapa kegagalan dan kelemahan. Bagaimanapun, sejak dari 1969 kita tidak melihat berlakunya konflik perkauman yang besar di Malaysia. Dan walaupun terdapat kelemahan pada DEB, Malaysia jauh lebih stabil daripada kebanyakan negara-negara berbilang kaum yang lain, begitu juga negara yang mempunyai satu kaum sahaja. Dan perkembangan ekonomi di Malaysia juga menidakkan apa-apa jangkaan negatif hasil daripada DEB.

Saya yakin jika kita boleh mengurangkan jurang ekonomi diantara rakyat Malaysia mereka tidak akan begitu hiraukan atau begitu tekankan akan perlunya mereka di identifikasikan menurut ketrurunan kaum mereka. Mereka akan tetap jadi Melayu, Cina, India, Murut, Bajau, Dayak dan sebagainya tetapi mereka akan kurangkan bersengketa tehadap satu sama lain.

Ras-ras di Malaysia saling berpaut antara satu sama lain dan mereka saling bergantung sesama mereka. Walaupun masyarakat berbilang kaum Malaysia akan terus berasingan daripada segi etnik kaum, namun Malaysia akan terus aman, berkeupayaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan memperlihatkan keharmonian perhubungan antara kaum jika pimpinan negara ini memahami masalah yang terdapat dan mempunyai kemampuan mengurus.

Sebanyak itulah yang boleh kita harapkan kerana kita tidak bersetuju untuk bertuturkata di dalam satu bahasa dan mengamalkan satu budaya serta melepaskan identifikasi dengan negara-negara dari mana nenek moyang kita berasal.

DITULIS OLEH DR. MAHATHIR MOHAMAD