I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selamat Datang Ke SK Bukit Rokan Utara (Sekolah Kluster Kecemerlangan)

Terima Kasih Kerana Sudi Meluangkan Masa

Friday, August 7, 2009

Tapak kampus UUM dahulu adalah sarang komunis

Tapak kampus UUM dahulu adalah sarang komunis

Dalam catatan sejarah UUM, universiti yang terletak paling utara ini bermula di kampus sementaranya di Bandar Darul Aman dekat Jitra dan kemudian setelah enam tahun di sana, berpindah ke Kampus Sintok, kira-kira 30 km di utara Jitra. Sebelum terbinanya kampus UUM di Sintok, kawasan Hutan Simpan Sintok seluas 4,000 hektar ini adalah kawasan yang digazetkan sebagai kawasan hitam akibat aktiviti pengganas komunis oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak di selatan Thailand.

Apabila PKM meletak senjata dan menamatkan perjuangan mereka, kawasan Sintok telah digazetkan menjadi kawasan putih semula pada Disember 1988 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, selaku Menteri Dalam Negeri. Tindakan itu membolehkan UUM memulakan pembinaan Kampus Sintok mulai 7 Januari 1989.

Perdana Menteri telah memberikan tempoh masa selama 18 bulan untuk UUM menyiapkan Kampus Sintok. Ini bermakna pembinaan harus siap menjelang Julai 1990 apabila sesi pengajian yang baru akan bermula. Genap 18 bulan, Perdana Menteri membuat lawatan ke Kampus Sintok untuk melihat perkembangan pembinaan kampus berharga RM580 juta ini.

Disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, termasuk mendapatkan pekerja binaan yang mencukupi, UUM hanya mampu memulakan operasinya di Kampus Sintok dua bulan kemudian, iaitu pada 15 September 1990 apabila pelajar-pelajar baru sesi 1990/91 mendaftar disusuli dengan kemasukan pelajar senior seminggu kemudian untuk memulakan pengajian. Jumlah pelajar UUM meningkat dari 3,500 orang pada ketika itu menjadi 16,500 orang pada masa kini dengan 14,500 orang bermastautin di Kampus Sintok manakala sebahagian yang lainnya adalah pelajar Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), pelajar francais dan pelajar di Kampus Transit Kuantan serta Kampus Sungai Petani.

Kampus Sintok telah dibina di atas sebuah lembah yang permai, dikelilingi bukit-bukau dan kehijauan hutan hujan tropika yang indah dengan flora dan faunanya. Di kampus ini mengalir Sungai Sintok dan Sungai Badak yang bertemu di tengah-tengah kampus, menambah cantikkan lagi pemandangannya.

Di lembah Sungai Sintok ini, sebelum terjadinya kampus UUM, terdapat sebuah lombong bijih timah terbuka. Perlombongan dan pembalakan merupakan dua aktiviti utama penduduk di situ pada masa dulu. Oleh kerana pengganas komunis mengeksploitasi penduduk yang dianggarkan seramai 3,000 orang di Sintok pada masa lalu, pihak pemerintah membuat keputusan memindahkan penduduk-penduduk tersebut ke kawasan lain di negeri Kedah lalu menutup pekan Sintok dan mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan hitam.

Sejarah Sintok bermula apabila ia diteroka oleh kaum Cina yang memulakan aktiviti melombong bijih timah di kawasan itu pada awal 1900-an. Kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan perlombongan ialah di Sintok, Kampung Sungai Badak dan Bukit Kachi. Hanya terdapat sejumlah kecil sahaja pekerja Melayu dan India di kawasan tersebut.

Sintok yang terletak 12 kilometer ke timur Changlun adalah kawasan yang terpencil. Keadaan fizikalnya yang berbukit-bukau dan merupakan satu kawasan hutan rimba yang luas menyebabkan perhubungan agak sukar, keselamatan penduduk sentiasa terancam oleh pengganas komunis. Di kawasan hutan ini juga terdapat rangkaian denai yang menghubungkan selatan Thailand, Sintok, Padang Sanai di Padang Terap hingga ke Nami dalam daerah Sik dan terus ke Baling seterusnya hingga ke kawasan Hulu Perak.

Parti Komunis Malaya yang memulakan kegiatan subversif dan keganasan selepas Perang Dunia Ke-2 menggunakan keistimewaan alam semula jadi untuk bergerak cergas di kawasan Sintok yang cukup strategik sebagai pangkalan aktiviti mereka di kawasan ini yang juga menjadi pintu masuk dari Thailand ke negara ini.

Di Sintok pada masa itu terdapat sebuah balai polis. Anggota polis di balai itu berfungsi hanya sebagai pengawas kepada pelombong dan pekerja balak.

Tugas mereka hanya terhad di kawasan balai sahaja. Bilangan anggota yang kecil dan kelengkapan senjata yang lemah membuatkan mereka tidak berupaya melawan kekuatan PKM.

Dalam sejarahnya, Sintok ditutup dua kali. Kali pertama apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 bila mana kawasan Sintok dikosongkan daripada sebarang kegiatan perlombongan dan pembalakan selama tiga tahun.

Apabila keadaan kembali aman, lombong bijih timah dibuka semula pada 1952. Penduduk yang dahulunya berpindah keluar dibenarkan pulang. Dalam masa yang singkat kawasan Sintok, Sungai Badak dan Bukit Kachi dihuni oleh hampir 3,000 orang, sebahagian besarnya berketurunan Cina. Pembukaan semula Sintok memberi kesempatan baru kepada anggota PKM. Mereka mula menyusun semula strategi keganasan dan menjadikan penduduk Sintok sebagai penyokong mereka. Balai Polis Sintok pada ketika itu berfungsi sebagai tempat membuat aduan dan mengawasi kegiatan penduduk Sintok untuk kes-kes biasa. Anggota-anggota polis memang sedar bahawa mereka sendiri adalah di bawah ancaman anggota PKM.

Apabila penduduk Sintok bertambah ramai dan PKM berjaya melakukan serangan hendap demi serangan hendap ke atas anggota keselamatan, PKM bertambah yakin bahawa mereka akan berjaya. PKM cuba menghidupkan kembali hubungan mereka dengan penduduk Sintok dengan menyebarkan berbagai-bagai propaganda.

PKM juga mengambil peluang untuk membuat dakyah dan menghasut pekerja supaya membenci kerajaan. Di samping itu mereka juga meminta supaya membekalkan makanan. Para pekerja lombong itu terpaksa melayan anggota PKM dengan baik.

Selepas 1969 PKM menjadikan peristiwa 13 Mei sebagai isu propaganda. Mereka menyatakan bahawa Kerajaan Perikatan melakukan kekejaman dan penindasan ke atas orang Cina. Mereka juga telah menyebarkan risalah komunis seperti Awakening News dan Mao's Quotation.

Setelah diteliti dari segi perkembangan kegiatan komunis dari awal maka pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Operasi Sempadan melancarkan Operasi Semai mulai 4 Ogos 1969 dan tamat sepenuhnya pada 16 Mac 1970. Operasi tersebut bertujuan untuk memutuskan rangkaian hubungan komunis dan menghalang propaganda daripada merebak dengan meluas.

Di samping itu ia juga bagi membolehkan pihak anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di kawasan Sintok. Operasi itu melibatkan pihak tentera, polis dan agensi lain yang berkaitan. Buat kali kedua penduduk Sintok diarah meninggalkan kawasan tersebut. Sebahagian mereka ditempatkan di kampung-kampung baru termasuk di Padang Lembu, Gurun, Kedah. Pekan Sintok dimusnahkan dalam erti kata dibakar dengan tujuan agar anggota komunis tidak dapat bertapak di Sintok.

Sejak tarikh itulah kawasan Sintok menjadi lengang tanpa penduduk dan diisytiharkan sebagai kawasan hitam sehinggalah ia digazetkan semula sebagai kawasan putih pada Disember 1988 memandangkan keadaan telah aman dan sekali gus bagi membolehkan pembinaan Kampus Sintok, kampus tetap UUM.

Hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh satu pasukan empat orang pegawai UUM terdiri daripada Abdul Wahab Awang (kini Ketua Penolong Pendaftar STM), Mohd. Shahreza Kader Asna (kini Pensyarah SBPS),

Allahyarham Hashim Yassin (ketika itu Penolong Pegawai Kebudayaan) dan penulis sendiri, sebanyak 35 nama anggota keselamatan dan juga orang awam termasuk dua orang isteri anggota polis telah dikenal pasti sebagai mangsa yang terkorban akibat keganasan komunis di sekitar kawasan Sintok.

Sebahagiannya tidak mempunyai rekod yang lengkap dan sukar untuk mendapatkan nama penuh mereka.

Naib Canselor UUM ketika itu, Tan Sri Datuk Dr. Othman Yeop Abdullah (kini Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) telah mengarahkan dibina sebuah tugu yang dikenali sebagai Tugu Peringatan Sintok yang dirasmikan oleh Tuanku Sultan Kedah pada 21 April 1992.

Tugu ini didirikan di dalam kawasan kampus berhampiran dengan markas Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) UUM. Kawasan ini dinamakan Dataran Perwira. Pada tugu tersebut telah dipahatkan nama 35 mereka yang terkorban itu. Reka bentuk tugu adalah hasil ilham Arkitek UUM, Ismail Abdullah. Tujuan tugu ini dibina ialah untuk menjadi mercu tanda peringatan dan menimbulkan keinsafan kepada warga UUM serta generasi akan datang bahawa UUM yang tersergam indah dengan kemudahan serba canggih dan mendapat Status MSC ini ditegakkan di atas keringat serta titisan darah dan air mata generasi terdahulu.

Adalah menjadi harapan pucuk pimpinan Universiti agar keinsafan itu akan mencetuskan semangat di kalangan warga UUM semoga mereka menuntut ilmu, menabur budi dan mencurah bakti dengan penuh ikhlas dan kesyukuran serta mengesampingkan kepentingan-kepentingan peribadi sejajar dengan motto UUM 'Ilmu, Budi, Bakti.'

Bagi mencatat kisah di Sintok ini sebagai dokumen sejarah, Arkib Negara Malaysia cawangan Kedah/Perlis dengan kerjasama UUM menganjurkan satu majlis pengkisahan sejarah 'Darurat di Sintok' di Pusat Konvensyen UUM Sabtu lalu.

Majlis pengkisahan ini akan dijayakan oleh tiga orang lama yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan sejarah di Sintok. Mereka ialah Syed Shahil Syed Muhamad, Ahmad Ariffin (penyajak Affrini Adham) dan Puan Som Awang.

Syed Shahil, 77 tahun berasal dari Arau, Perlis memulakan tugasnya sebagai Leftenan di dalam Rejimen Ke-3 Askar Melayu Diraja (3 Melayu). Pada masa Darurat beliau bertugas dengan Rejimen Ke-5 Askar Melayu yang berpangkalan di Kepala Batas, Alor setar. Salah satu tanggungjawab sebagai pegawai agama yang diamanahkan kepada beliau ialah menguruskan jenazah mangsa yang terkorban dalam serangan-serangan hendap oleh pihak pengganas.

Beliau menghadapi saat yang mencemaskan dan berjuang seperti telur di hujung tanduk. Satu daripadanya ialah apabila pengganas komunis memasang bom tangan pada mayat yang sedang diuruskan jenazahnya. Beliau juga dapat menyaksikan banyak kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis semasa beliau menguruskan jenazah-jenazah anggota keselamatan yang terbunuh.

Ahmad Ariffin yang lebih dikenali sebagai Affrini Adham, 73 tahun, yang berasal dari Alor Setar mempunyai kenalan yang ramai termasuk berkawan rapat dengan Din Ker iaitu Ketua Platoon, PKM Kawasan Padang Terap.

Din Ker merupakan 'talibarut' dan penghubung kuat antara pihak perisik polis dengan PKM dan memberi maklumat mengenai saki baki pengganas komunis.

Semasa darurat di Sintok Din Ker yang berketurunan Siam ini walau bagaimanapun telah menyerah diri dan mendapat keampunan daripada kerajaan dan terus tinggal di Wad Siam Kampung Titi Akar dalam daerah Pendang, Kedah.

No comments:

Post a Comment