I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selamat Datang Ke SK Bukit Rokan Utara (Sekolah Kluster Kecemerlangan)

Terima Kasih Kerana Sudi Meluangkan Masa

Monday, January 11, 2010

Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri

Pertandingan tulis surat kepada Perdana Menteri


"SATU ialah kita - Melayu, Cina, India dan lain-lain. Malaysia ialah rumah kita ..." ini ayat pertama seorang pelajar, Muhammad Hanif Ahmad, di dalam eseinya mengenai 1Malaysia. Diharapkan Muhammad Hanif akan benar-benar menyampaikan pandangannya mengenai gagasan 1Malaysia ini kepada Perdana Menteri apabila kini peluang dibuka untuk pelajar satu Malaysia meluahkan suara hati mereka kepada beliau.

"Surat kepada Perdana Menteri" ialah pertandingan dianjurkan Pos Malaysia Bhd yang diumumkan baru-baru ini untuk mempelawa warga muda menyuarakan visi 1Malaysia mereka. Bertepatan dengan majlis Rumah Terbuka Krismas 1Malaysia baru-baru ini, pertandingan itu dilancarkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak di Kota Kinabalu.

"Ke hadapan YAB Perdana Menteri," pelajar diminta memulakan surat mereka dengan kata pendahulu ini sebelum meneruskan luahan hati dalam 300 hingga 500 patah perkataan mengenai 1Malaysia dan diakhiri dengan tanda tangan mereka. Pertandingan ini dibuka kepada pelajar sekolah seluruh negara berusia 7 hingga 17 tahun bermula 29 Disember lalu dan berakhir 19 Februari ini. Visi yang disampaikan mestilah mengandungi faktor kepentingan perpaduan kaum.


"Tulis satu lembaran surat kepada Perdana Menteri mengenai hasrat atau cadangan anda terhadap kepentingan perpaduan kaum dan hidup bersatu, serta apa yang boleh dilakukan untuk terus mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1Malaysia," demikian syarat yang dinyatakan Pos Malaysia.

Pos Malaysia menganjurkan pertandingan ini bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mendapat kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran. RTM pula bertindak sebagai rakan media. Pelajar dari 10,000 sekolah dijangka menyertai pertandingan ini yang dibahagikan kepada dua kategori: Kategori A untuk sekolah rendah dan kategori B untuk sekolah menengah.

Enam surat terbaik akan memenangi beberapa hadiah menarik dalam bentuk wang tunai sehingga RM5,000, kamera digital, kamus, baucar buku dan koleksi setem. Dua pemenang teratas masing-masing akan menerima sebuah komputer riba sebagai hadiah utama di samping hadiah iringan.

"Kami ingin menyediakan satu saluran kepada warga muda Malaysia untuk menyuarakan pengertian mereka mengenai 1Malaysia dan saranan mereka dalam mencapai visi itu," kata Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, mengenai pertandingan ini.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dilihat mampu memperkenal semula dan memupuk minat serta seni menulis di kalangan generasi muda. Bagi beliau, kepesatan teknologi komunikasi dan maklumat menyebabkan menulis bagaikan seni yang hampir dilupakan. Pertandingan ini juga akan mencungkil pemikiran kreatif kalangan pelajar sekolah serta merangsang kebolehan mereka menulis dalam bahasa Malaysia dengan tepat, katanya.

Syed Faisal yakin Pos Malaysia yang mempunyai rangkaian pejabat pos sebanyak 694 di seluruh negara selain pejabat pos mini, wakil pos dan pejabat pos bergerak, mampu mengendalikan kebanjiran ribuan surat pelajar yang menyertai pertandingan ini.

Pelajar yang berminat menyertai pertandingan "Surat kepada Perdana Menteri" ini boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya melalui poster yang dipamerkan di sekolah mereka atau melayari laman web www.pos.com.my atau www.skmm.gov.my. Mereka juga boleh menghubungi sekretariat "Surat kepada Perdana Menteri" di talian 03-2267 2000 atau 03-8688 8409.

Sesuai dengan tradisi menulis surat, luahan hati pelajar ini harus bertulis tangan, kemas dan mudah dibaca. Surat bertaip tidak dibenarkan sama sekali.

Jangan lupa! Penganjur mengingatkan supaya pelajar mendapatkan cop pengesahan sekolah sebelum menghantar surat ke alamat Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri, Peti Surat 1000, 50796 Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment